Pengurusan enjin Sistem_penyalaan

Di dalam sisten pengurusan enjin (EMS), sistem elektronik mengawal penghantaran bahan api, pemasaan penyalaan dan aturan penyalaan. Penderia-penderia utama ialah penderia sudut enjin (kedudukan aci engkol atau titik tetap atas (TDC)), penderia aliran udara ke enjin dan penderia kedudukan pendikit. Litar elektronik menentukan silinder mana yang memerlukan bahan api serta berapa banyak yang diperlukannya, membuka pemancit yang berkenaan untuk menghantar bahan api, kemudian menyebabkan bunga api tercetus pada masa yang betul untuk membakarnya. Sistem EMS terawal menggunakan litar komputer analog untuk mencapainya, namun setelah sistem terbenam menjadi cukup pantas untuk mengikuti data-data masukan yang berubah-ubah pada kelajuan tinggi, sistem digital mula digunakan.

Sesetengah rekaan yang menggunakan EMS mengekalkan gelung, pengagih dan palam pencucuh asal yang digunakan pada kereta sepanjang zaman. Sistem lain pula memansuhkan pengagih sama sekali dan menggantikannya dengan penggunaan berbilang gelung yang ditempatkan betul-betul di atas setiap palam pencucuh. Ia menghapuskan keperluan untuk menggunakan pengagih dan wayar tegangan tinggi, dua komponen yang mempunyai rekod buruk bagi kebolehpercayaan jangka panjang.

EMS moden membaca data daripada pelbagai penderia seperti kedudukan engkol, suhu rongga, tekanan rongga (atau aliran jisim udara), kedudukan pendikit, campuran udara-bahan api melalui penderia O2 dan ada kalanya unit tersebut membaca data daripada penderia ketukan dan penderia suhu ekzos. EMS kemudian menggunakan data-data yang dikumpulkan untuk menentukan secara tepat berapa banyak bahan api untuk dihantar, bila dan berapa jauh hendak menganjak pemasaan penyalaan. Hasilnya, sistem elektronik canggih bukan sahaja lebih jimat bahan api, malah menghasilkan prestasi lebih baik.